FURQAN FAWWAZ PENYANYI DARI MALAYSIA RILIS NUSAIBAH
JIKA sebelum ini Muhammad Furqan Fawwas Salleh, 23, dilihat
bergandingan bersama-sama rakan dari kumpulan nasyid Zayne, kali ini beliau
tampil solo. Penampilan solo Muhammad Furqan Fawwas atau mesra dengan panggilan
Fawwas itu bukan bermaksud, beliau meninggalkan kumpulan Zayne tapi sekadar
menjayakan projek khas bersama Smart Audio Visual (M) Sdn. Bhd. Menerusi projek
ini, Fawwaz akan tampil dengan single berjudul Nusaibah yang bakal menemui
peminat secara rasmi di saluran YouTube Smart Audio TV pada 27 September 2021. Sehari
kemudian, lirik video lagu Nusaibah akan dimuat naik di YouTube Furqan Fawwaz
pula.
Bercerita
tentang pembikinan lagu Nusaibah yang dirakam di Smart Audio Studio, Bandar Bukit Raja, Klang, Selangor itu, Fawwaz berkata, untuk projek tersebut, beliau mendapat sokongan penuh daripada anggota
kumpulan Zayne. “Kami anggota Zayne bebas untuk melakukan projek solo masing-masing.
Ada juga ahli lain yang menyanyi dengan orang lain. Mana-mana tawaran kami akan
ambil dan masing-masing terbuka untuk itu. Bila ada projek bersama, kita nyanyi sama-sama, bila ada projek solo makna itu rezeki masing-masing.
“Saya mendapat tawaran untuk rakam lagu Nusaibah ini
daripada Smart Audio supaya lagu ini boleh pergi jauh. Asalnya masa buat lagu Nusaibah
ini saya anggap
biasa-biasa saja sebab
ia lagu nasyid,
tertanya juga ada lagi ke
peminat nasyid. Itu saja tanggapan saya dan tak sangka rezeki saya untuk
membawa lagu ini pergi
jauh lagi,” kata Fawwaz tentang lagu ciptaannya dan lirik oleh Ustaz Mohd. Izat. Menurut Fawwaz, Ustaz
Mohd. Izat atau nama penanya, UMI merupakan guru disiplinnya sewaktu belajar di
sekolah Tahfiz Al-Furqan dan idea asal untuk hasilkan lagu Nusaibah ini dicetuskan oleh Ustaz Mohd. Izat.
“Sebenarnya lirik lagu ini dibuat
oleh Ustaz Izat iaitu guru disiplin saya masa sekolah
Tahfiz dulu. Ustaz Izat
dulu
mengajar kat sekolah ayah saya, Sekolah Al- Furqan waktu saya usia 12 – 13 tahun, dia guru disiplin saya. Bila dah besar ni jumpa balik Ustaz Izat. “Kami boleh bertemu balik semua itu atas usaha ayah saya. Ayah adalah Pengetua Tahfiz Darul Furqan atau Mudir, dan dia adalah guru kepada Ustaz Izat. Setiap hari ayah tengok
saya asyik menyanyi
di rumah, dia kata saya kena buat lagu sendiri.
Jangan nyanyi kosong
dan sebab itu dia hubungi Ustaz Izat, minta ustaz buatkan lirik lagu untuk saya. “Jadi ustaz WhatsApp saya dan bagi
lirik, kemudian saya pun buat melodi dengan gaya tarannum Jiharkah. Asalnya
saya tak ambil serius sangat untuk jadikan lagu Nusaibah ini komersial hingga
perlu buat promosi dan video muzik. Bagi saya cukup untuk kepuasan diri tapi siapa sangka rezeki, lagu ini boleh diketengahkan,” ceritanya.
Lulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Al-Quran dan
Qiraat dari Universti Al-Azhar, Mesir itu menjelaskan, beliau memilih untuk
mengangkat cerita Nusaibah kerana wanita itu merupakan seorang Mujahidah (pejuang
wanita) yang pernah
mengikuti beberapa siri peperangan bersama
Rasulullah SAW dan berharap
kisah hidup Nusaibah
ini boleh dijadikan
teladan kepada wanita lain.
“Nusaibah ini bukan calang-calang tokoh. Dia adalah wanita Islam yang 100 peratus hidupnya untuk Islam. Dia bukan saja
korban dirinya dalam peperangan, bahkan dia korbankan anak-anaknya juga. Dia
tak biarkan anak-anaknya duduk di rumah, sebaliknya menggalakkan anak-anaknya
pergi berperang. “Kita pula sekarang ini, ada sesetengah ibu bapa terlalu
sayangkan anak, sampai jangan sentuh anak aku. Sekarang ini kalau ada orang yang berani sentuh (tegur) anak orang lain, silap hari bulan kena saman. Tapi lain
caranya dengan didikan
Nusaibah, dia biarkan
anak-anak pergi berperang, biar mati syahid.
“Cuma sedikit sedih tentang Nusaibah ini, dia nak sangat
mati syahid sampai dia sertai peperangan, dia lindung Nabi masa perang Uhud, terputus tangannya, badannya penuh dengan birat kena pedang untuk melindungi
Nabi. Tapi dia sendiri tak dapat mati syahid dalam perang. Dia dapat syahid
yang lain,” jelas Fawwaz tentang kehebatan Sayyidatina Nusaibah binti Kaab al-Ansari
sehingga diberikan gelaran Ummu Imarah.
Smart Audio Visual (M) Sdn Bhd 137A, Jalan Cokmar 1,
Mutiara Bukit
Raja,
Off jalan Meru,
41050 Klang, Selangor Darul Ihsan.
+60 19-350
6985